Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu Pahat sebulat suara menolak UMNO menjadi komponan Perikatan Nasional (PN) jika didaftarkan sebagai badan formal seperti Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Justeru ia mendesak supaya pemimpin UMNO menjarakkan diri daripada sebarang perbincangan ke arah penubuhan atau pendaftaran PN apatah lagi menandatangani untuk menyertainya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, UMNO mesti konsisten dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

”UMNO patut fokus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) sebagai gagasan politik baru untuk menghadapi PRU ke-15.

”MN lahir melalui satu proses hati nurani politik yang murni ekoran penentangan terhadap ICERD, Statut Rom dan tindak tanduk DAP bila dapat kuasa,” tegas beliau.

Datuk Mohd Puad Zarkashi

Menurut beliau, PN sepatutnya hanya kekal sebagai pemudah cara agar kerajaan terus berfungsi demi rakyat sehingga PRU ke-15.

UMNO tidak boleh terperangkap dengan ‘game plan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika UMNO menyertai PN yang didaftarkan.

Ini kerana, UMNO Batu Pahat bimbang UMNO akan terpalit dengan politik ‘beracun’ Bersatu akibat persengketaan berterusan kelompok Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kelompok Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin.

”UMNO tidak boleh tertipu dengan politik wayang PPBM yang dianggotai oleh ahli Parlimen lompat dari PKR dan UMNO.

”Kekuatan Bersatu bukan kerana akar umbi tetapi ihsan nyawa dari mereka yang melompat. Justeru, UMNO perlu kekal dengan sendi-sendi politik rakyat yang solid. Jangan lembik dan terikut ikut dengan ‘game plan’ musuh. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. yes datuk,UMNO dan PAS tidak hanya parti politik melayu islam tapi ianya teramat besar ertinya
    demi sebuah Institusi Melayu,Islam dan Negara Bangsa.

Comments are closed.