Ismail Nasaruddin

KUALA LUMPUR- Pengurusan tertinggi semua syarikat penerbangan perlu melakukan pemotongan gaji dan mengurangkan faedah pekerjaan secara sukarela.

Ini termasuk bonus besar serta kelebihan perjalanan dan kewangan kepada ahli-ahli lembaga pengarah.

Menurut Presiden Kesatuan Anak-Anak Kapal Kru Kabin Kebangsaan (NUFAM), Ismail Nasaruddin, pihaknya telah menghantar cadangan tersebut kepada pihak kerajaan.

“Penjimatan ini tidak akan menjejaskan keselesaan dan gaya hidup mewah pengurusan kanan syarikat kerana mereka sudah mempunyai gaji yang tinggi.

“Apa yang penting, langkah tersebut dapat menyelamatkan pekerjaan bagi golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan webinar dengan MTUC.

Menurut Ismail, ramai kru kabin yang menerima gaji serendah RM1,200 malah ada yang mendapat kurang daripada itu apabila pandemik melanda dan penerbangan udara digantung.

Jelasnya, kerajaan mungkin tidak sedar, kebanyakan pekerja di syarikat penerbangan di Malaysia mempunyai gaji asas yang rendah dan selama ini bergantung kepada pelbagai elaun yang diberikan pihak syarikat.

Bagaimanapun, elaun-elaun tersebut dibekukan atau dipotong malah gaji mereka dikurangkan apabila larangan penerbangan dikeluarkan akibat penularan wabak Covid-19.

“Disebabkan itu, sebarang suntikan dana oleh kerajaan tidak boleh dianggap “bailout” sebaliknya ia adalah langkah menghidupkan semula industri penerbangan.

“Ia patut digelar pakej rangsangan kerana industri penerbangan adalah penting kepada ekonomi negara,” katanya.

Tegas Ismail, industri penerbangan Malaysia memerlukan bantuan segera daripada kerajaan kerana lebih 100,000 kakitangan termasuk juruterbang, pramugari dan pekerja di lapangan terjejas akibat gaji dibekukan atau dipotong.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

AirAsia buang pekerja tapi pengurusan bergaji tinggi selamat?