Bangunan Kementerian Sumber Manusia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan akan memastikan majikan mematuhi peraturan dalam menjaga hak dan kebajikan pekerja.

Ia susulan daripada pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Kenyataan kementerian itu hari ini turut memaklumkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) akan mengemukakan pelan komprehensif dalam waktu terdekat bagi memastikan inisiatif-inisiatif di bawah PENJANA dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dan memikul tanggungjawab agar usaha memperkasakan rakyat tercapai,” kata kenyataan yang sama.

Terdahulu , kementerian tersebut menyambut baik pengumuman PENJANA pada 5 Jun lalu  dan dalam masa yang sama menyuarakan komited dalam melaksanakan serta menjayakan semua inisiatif berkaitan.

“Inisiatif-inisiatif di bawah PENJANA ini diharap dapat membantu rakyat agar kekal dalam pekerjaan. Para pekerja juga boleh merebut peluang meningkatkan kemahiran mereka menerusi pelbagai program yang disediakan Kementerian Sumber Manusia.

“Ini sekaligus dapat memberikan nilai tambah kepada para pekerja dan meningkatkan potensi kejayaan padanan kerja selain meningkatkan kebolehpasaran pekerja dalam pasaran buruh,” kata kementerian itu lagi.

Antara inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi pelan yang telah diumumkan adalah memperluaskan Program Subsidi Upah, pengenalan Program Insentif Pengambilan Pekerja, mewujudkan Dana Padanan Caruman untuk perlindungan sosial pekerja ekonomi gig serta menambahbaik Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara di bawah PERKESO.

Program Subsidi Upah yang dilaksanakan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) juga dilanjutkan selama tiga bulan lagi membabitkan peruntukan berjumlah RM5 bilion bagi membantu syarikat terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meneruskan operasi tanpa mengambil langkah drastik seperti menutup syarikat dan memberhentikan pekerja.

Inisiatif itu dijangka dapat membantu lebih 2.7 juta pekerja tempatan.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan peruntukan RM1.5 bilion sebagai insentif kepada majikan untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 penganggur.

Bantuan mobiliti dan program latihan dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) juga akan disediakan untuk penganggur dan pekerja yang bukan pencarum PERKESO termasuk lepasan sekolah dan lulusan universiti.

Kementerian Sumber Manusia juga akan menyediakan dana padanan berjumlah RM50 juta bagi pembayaran caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO untuk melindungi pekerja ekonomi gig selama satu tahun.

Bagi menyokong sistem kerja anjal yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Bencana Pekerjaan yang akan melindungi pekerja yang terlibat dalam kemalangan berkaitan dengan pekerjaan di rumah.-MalaysiaGazette