Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR- Delegasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diketuai presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya semalam

Menerusi laman rasmi Facebooknya, FAM memaklumkan perjumpaan kali keempat itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan bola sepak termasuk kemas kini prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memastikan aktiviti sukan tersebut dapat dijalankan seperti biasa dalam tempoh terdekat.

Perjumpaan turut disertai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam.

FAM turut berterima kasih kepada Reezal Merican yang sentiasa terbuka untuk menerima kunjungan dan berkongsi pandangan dengan FAM selain banyak membantu dalam memperjuangkan supaya saingan bola sepak tempatan dapat bersambung semula dalam tempoh terdekat.

Badan induk itu sebelum ini mengadakan perjumpaan dengan Reezal Merican pada 17 Mac, 30 April dan 31 Mei lalu.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggantung semua aktiviti bola sepak mereka sejak 16 Mac lepas berikutan penularan pandemik COVID-19 selain bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette