Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menyambung semula tempoh perkhidmatan kontrak seramai 603 orang pekerja di agensi-agensi kerajaan yang telah dan akan tamat tempoh tidak lama lagi sebagai membela nasib mereka dalam krisis Covid-19 ketika ini.

Tindakan itu penting bagi memastikan mutu perkhidmatan cemerlang yang dicurahkan mereka selama ini untuk kelancaran sistem pentadbiran kerajaan Persekutuan diteruskan lagi dengan sumbangan dan bakti mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata, kerajaan perlu membuat keputusan segera berhubung perkara tersebut bagi mengikis kebimbangan kumpulan tersebut. .

“CUEPACS difahamkan daripada jumlah tersebut, seramai 265 orang telah tamat kontrak perkhidmatan, manakala kontrak perkhidmatan 338 orang lagi akan tamat dalam tempoh masa terdekat.

“Kami menerima banyak aduan daripada pekerja kontrak di agensi-agensi kerajaan yang memaklumkan kebimbangan kontrak mereka tidak akan disambung walaupun menunjukkan mutu kerja yang baik.

“Sehubungan itu, CUEPACS merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kesemua pekerja kontrak terutamanya yang telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebelum ini diambil semula bekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Adnan, pekerja-pekerja kontrak yang terlibat tidak perlu dibuang tetapi penggunaan sumber manusia perlu disusun atau dinilai semula dengan menempatkan mereka-mereka di kementerian atau agensi yang kritikal.

Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sahaja mengurangkan kadar pengangguran, malah membolehkan kementerian dan agensi yang kritikal dapat berfungsi dengan lebih baik bagi membantu kerajaan menjayakan pakej-pakej rangsangan menjana semula ekonomi negara.

“Apatah lagi negara ketika ini telah memasuki tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), maka wajarlah kontrak mereka disambung semula bagi membantu kerajaan memberikan mutu perkhidmatan yang baik kepada rakyat serta melaksanakan pelan pemulihan ekonomi negara.

“Pekerja kontrak juga adalah penjawat awam dan rata-rata mereka ada yang telah berkhidmat lima hingga sepuluh tahun. Sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan dan jasa telah dicurahkan untuk agensi tertentu, jadi tidak salah jika kontrak mereka disambung lagi.

“CUEPACS berharap kerajaan tidak menjadikan pekerja kontrak sebagai mangsa selepas ramai kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP sebelum ini. Belalah nasib mereka,” katanya. – MalaysiaGazette