Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dibenarkan berulang-alik ke negara berkenaan atas urusan kerja.

Bagaimanapun menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan kebenaran itu akan hanya bermula selepas rundingan di antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar dengan rakan sejawatnya dari Singapura selesai.

“Singapura telah memulakan aktiviti ekonomi mereka dan banyak syarikat telah meminta supaya pekerja-pekerja mereka yang terdiri daripada rakyat Malaysia untuk kembali semula bertugas.

“Kita boleh benarkan tetapi pelaksanaannya akan dibuat selepas rundingan mengenai syarat-syarat berkaitan perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

“Ketika ini rundingan masih dijalankan,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan juga bersedia untuk memastikan rakyat Malaysia menjalani saringan Covid-19 sebelum dibenarkan memulakan tugas di Singapura.

Malah beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Sultan Ibrahim, Temasek Corporation dan Thompson Medical Group kerana menyumbang dua makmal bergerak dan kit ujian Covid-19.- MalaysiaGazette