Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR- Kira-kira 96.7 peratus atau 10.04 juta daripada 10.6 juta penerima BPN telah menerima pembayaran masing-masing.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, selebihnya penerima boleh menuntut di cawangan BSN sehingga 31 Disember 2020.

Beliau turut memaklumkan keputusan permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dijangka diketahui tidak lama lagi.

“Bagi kumpulan Rayuan, keputusan dijangkakan pada pertengahan bulan Jun. Tarikh terperinci akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya semasa membentangkan Laporan Laksana Kelapan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul turut memaklumkan, setakat 5 Jun lalu, sebanyak 4.1 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan dengan jumlah pembayaran sebanyak RM1.94 bilion sebulan.

Bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus pula, sehingga 5 Jun, lebih 5.7 juta pekerja memilih untuk meneruskan pengurangan caruman mereka.

Manakala jumlah pengurangan caruman yang telah diterima ahli KWSP sehingga ini adalah RM1.87 bilion. Jumlah pencarum yang memilih untuk mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus kini sebanyak 1.85 juta berbanding 1.7 juta sebelum ini.

Bagi bayaran khas RM600 secara one-off yang akan diberikan kepada pemandu pelancong atau tour guides, sehingga 5 Jun masih terdapat pembayaran tertangguh untuk 1,868 daripada 8,323 pemandu pelancong disebabkan maklumat bank yang tidak tepat.

“Mereka yang layak tetapi masih belum mendapt bayaran boleh menuntut pembayaran secara tunai di kaunter BSN mulai 15 Jun 2020,” katanya lagi.- MalaysiaGazette