Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak 281 kes Covid-19 dibenarkan discaj hari ini menjadikan ia pertama kalinya mencatatkan kes keluar wad terbanyak setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu ia menunjukkan kes sembuh dan discaj daripada wad adalah sebanyak 6,975 atau 83.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagaimanapun, terdapat tujuh kes baharu dengan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia iaitu 8,336 jumlah kes dan kebolehjangkitan sebanyak 1,244 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan dalam kalangan warganegara Malaysia.
Satu kes penularan di dalam negara adalah seorang pekerja bukan warganegara iaitu kes saringan untuk mula berkerja,” katanya pada sidang media hari ini.

Sehingga kini, Noor Hisham berkata, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian
dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian wabak itu di negara ini kekal sebanyak 117 kes atau1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette