KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah menjangkakan negara berdepan defisit sekali ganda daripada Bajet 2020 yang diluluskan kerajaan terdahulu dari Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, defisit itu berlaku berikutan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PH) mengumumkan pembiayaian beberapa pakej rangsangan Covid-19 sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan pada Mac lalu.
Katanya, pada awalnya kerajaan PN tidak menyatakan dari mana sumber kewangan digunakan untuk pakej rangsangan itu, sehingga agensi berita asing, Reuters dan The Edge Markets mendedahkan, kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaan itu.
“Akhirnya, baru kita tahu apabila Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, kerajaan akan berhutang untuk menampung pembiayaian pakej rangsangan Covid-19 itu.
“Ini akan menyebabkan berlaku defisit bajet menjadi sekali ganda dari yang telah diluluskan (kerajaan PH) dalam Bajet 2020.
“Bajet 2020 yang dibentangkan PH tahun lepas dan diluluskan akan menyaksikan defisit bajet sebanyak RM51.7 bilion atau 3.2 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (LDNK), dan defisit ini akan ditampung melalui hutang awam,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Amiruddin yang merupakan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu menyatakan, dengan pakej rangsangan pula, kerajaan perlu berhutang sebanyak sebanyak RM60 bilion lagi, menjadikan jumlah hutang tahun ini naik kepada RM111.7 bilion atau 6.9 peratus dari KDNK.
Katanya, dengan jumlah hutang RM111.7 bilion bagi tahun 2020, dicampur dengan hutang belum langsai, menyebabkan hutang awam negara melebihi 55 peratus dari KDNK dan ini memerlukan kelulusan dari Parlimen.
“Jelaslah berdasarkan kenyataan Tengku Zafrul, sebenarnya apa yang disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan PH) sebelum ini adalah benar, negara perlu berhutang jika bajet defisit.
“Kerana itu, ada NGO membuat laporan polis berkenaan masalah kewangan negara ketika rejim PH memerintah, lantas menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu Bon Samurai, penjualan aset Khazanah, Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan sebagainya.
“Saya ucapkan selamat membuat laporan polis kepada NGO berkenaan pada 12 Jun ini di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu.
Beliau menyatakan, sejak wabak Covid-19 melanda negara ini dan dunia khususnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah empat kali mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, termasuk yang pertama oleh Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri Interim. – MalaysiaGazette
Padu… Ternyata TUN dan PH team mmg berintegriti dan kekal bermaruah mnjaga duit negara…