MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka tidak boleh merangka dasar berkaitan golongan muda hanya dari bilik mesyuarat, sebaliknya perlu turun padang untuk mendengar sendiri suara, cabaran, minat dan aspirasi mereka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu penting kerana hampir 100,000 anak muda di negeri ini merupakan aset dan nadi kepada pembangunan Melaka pada masa hadapan.
“Kalau kita mahu membina Melaka untuk masa hadapan, kita mesti mula dengan membina anak mudanya pada hari ini.
“Kita tidak boleh sekadar merancang dasar anak muda daripada bilik mesyuarat. Kita mesti keluar, kita mesti turun dan kita mesti dengar sendiri suara mereka.
“Paling penting, kita mesti memahami bahasa mereka, cabaran mereka, minat mereka dan apa yang mereka fikirkan tentang masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini.
Majlis penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ab Rauf, anak muda bukan sekadar kelompok yang perlu diraikan ketika sesuatu program berlangsung, sebaliknya merupakan sebahagian penting daripada agenda pembangunan negeri.
Katanya, golongan itu berada dalam pelbagai lapisan kehidupan termasuk mereka yang masih belajar, baru memasuki alam pekerjaan, memulakan perniagaan, mengembangkan bakat serta mencari rezeki sebagai penghantar p-hailing.
“Dalam beberapa tahun sahaja lagi, merekalah yang akan menjadi jurutera, guru, usahawan, pemimpin industri dan pemimpin masyarakat.
“Sebab itu kita perlu memahami dunia mereka dan menyediakan ruang yang sesuai untuk mereka berkembang,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang menghimpunkan pelbagai segmen merupakan antara pendekatan kerajaan negeri untuk mendekati dan memahami golongan muda dengan lebih dekat.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengingatkan komuniti permotoran supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Kita boleh minat motosikal, kita boleh berkonvoi, kita boleh berkumpul beramai-ramai. Tetapi undang-undang mesti dihormati dan keselamatan mesti menjadi keutamaan.
“Himpunan ini kita adakan untuk mengeratkan persahabatan dan membina kebersamaan, bukannya menjadi lesen untuk sesiapa melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
















