Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes kemalangan jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mendapati jumlah kemalangan semasa PKPB lebih tinggi berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jumlah kes kemalangan jalan raya ketika PKP 1 daripada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 (iaitu untuk tempoh 14 hari) adalah 5,498 kes dengan 58 kematian. Ini bermakna, kadar kemalangan seharian adalah 392.7 kemalangan/sehari.

“Jika dibandingkan, jumlah ini naik mendadak kepada 738 kemalangan/sehari semasa PKPB mula berkuatkuasakan pada 4 Mei 2020,” kata beliau pada sidang media harian di KKM, hari ini.

Data Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan, daripada tempoh 5 Mei sehingga 12 Mei, jumlah kemalangan jalan raya adalah 5,904 kes, dengan 68 kematian.

Daripada 13 Mei sehingga 9 Jun, 25,251 kes kemalangan direkodkan dengan 231 kematian.

“Statistik awal bagi kes-kes kemalangan atau trauma yang mendapat rawatan di hospital-hospital KKM pula telah menunjukkan penurunan kes trauma di antara 65 sehingga 75 peratus bagi semua negeri semasa PKP berbanding sebelum
bermulanya PKPB.

“Namun begitu, jumlah ini mulai menunjukkan  peningkatan sebanyak 30 peratus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memandangkan terdapat lebih banyak pergerakan kenderaan di atas jalan raya,” kata Noor Hisham. -MalaysiaGazette