Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Tidak perlu untuk meletakkan Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memegang jawatan bergaji di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sama ada di peringkat persekutuan, negeri atau tempatan.

Sebaliknya, semua GLC perlu diterajui oleh golongan profesional yang sesuai berdasarkan kelayakan dan keupayaan bukan dilantik bagi menyogok wakil-wakil rakyat agar memberi sokongan atau sebagai “menutup mulut”, kata Ketua Wira Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

“Tak cukup sebelum ini mandat rakyat dipersenda demi kepentingan peribadi, kini menyogok menggunakan wang rakyat bagi membayar gaji wakil rakyat yang menindas rakyat secara halus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nasrul Ali berkata, Wira Putra merasa amat terkilan dengan apa yang berlaku hari ini apabila ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19, rakyat diminta bertolak ansur dan berkorban walaupun ada di kalangan mereka kehilangan pekerjaan, gaji yang kecil terpaksa dipotong majikan dan sebagainya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sekiranya perkara seperti itu berterusan, ia adalah masa terbaik untuk mencadangkan kepada Yang diPertuan Agong agar kerajaan mengambil langkah pembetulan dengan mewujudkan Mageran dan perubahan struktur sistem demokrasi melalui dua sistem parti politik perlu dipertimbangkan bagi menjamin kestabilan politik.

“Cukuplah pemimpin-pemimpin politik semasa menganak tirikan rakyat yang telah memberi kepercayaan untuk mereka semua mewakili dan membawa suara rakyat.

“Berhentilah dan kembalikan kegemilangan politik negara sebelum nasi menjadi bubur,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nasrul Ali berkata, cadangan yang dikemukakan oleh tiga badan bukan kerajaan (NGO) supaya kerajaan segera memperkenalkan pilihan raya pecat wakil rakyat (recall elections) dengan memberi kuasa kepada rakyat memecat wakil pemimpin mereka yang mengkhianati mandat diberikan atas sebab-sebab tidak munasabah adalah bernas dan wajar disokong.

Beliau berkata, pihaknya sangat menyokong cadangan tersebut bagi memastikan perjalanan politik negara ini tidak lagi kucar-kacir hingga merugikan rakyat dan negara sebagaimana yang berlaku ketika ini.

Katanya, rakyat mulai jelik mendengar kisah pemimpin bertali arus melompat parti bagaikan tiada prinsip dan hala tuju sepanjang bersama parti sebelumnya.

“Maka ia adalah wajar kepada mana-mana ahli Parlimen ataupun ahli Dewan Undangan Negeri dipecat daripada terus mempersenda mandat rakyat demi kepentingan periuk nasi mereka semata-mata,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nasrul Ali berkata, Wira Putra menyokong cadangan menghapuskan amalan pendakwaan dan imuniti terpilih terhadap mana-mana ahli politik, aktivis dan perniagaan berkaitan politik yang mencemar dan mencabul integriti badan kehakiman yang seharusnya bebas dan tidak bersifat politik dalam melaksana dan menasihat perihal undang-undang.

Langkah itu jelas membuktikan sebelum ini wujud campurtangan pemimpin politik dalam urusan di bawah seliaan Jabatan Peguam Negara yang menunjukkan kecacatan dalam badan kehakiman yang mulia, katanya.

Katanya lagi, ada individu tertentu di dakwa dengan pelbagai motif dan ada juga dengan mudah mendapat pengampunan mahupun dibebaskan apabila kumpulan mereka memegang tampuk kepimpinan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kah apa tau.kau ingat semua mp tu tak berpelajran ke. Kau tu yang tak sekolah. Lulus darjah enam.

Comments are closed.