HANOI – Laos pada Rabu mengumumkan negara ini kini berjaya memerangi wabak Covid-19 selepas semua 19 pesakit diizin keluar hospital dan tiada kes baharu dilaporkan selama 59 hari berturut-turut, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Perdana Menteri Thongloun Sisoulith pada sidang media di Vientiane berkata kejayaan itu hasil kerjasama diberikan semua pihak termasuk rakyat yang melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan penuh tanggungjawab.

Terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada kemenangan itu, termasuk langkah pencegahan awal yang diambil dan keutamaan diberikan dalam usaha memerangi pandemik oleh kepemimpinan negara.

Sokongan dan bantuan yang tepat pada masanya dari semua sektor, organisasi antarabangsa dan negara luar turut mendorong kepada kejayaan usaha ini, tambah beliau.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan mengkaji langkah-langkah pencegahan serta kawalan bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan operasi perniagaan dibuka semula secara bertahap.

Laos mengumumkan dua kes pertama Covid-19 pada 24 Mac dan pesakit terakhir diizin keluar hospital pada Selasa (9 Jun). Negara ini berjuang memerangi Covid-19 sejak lebih dua bulan.– BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast