KUALA LUMPUR – Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula semalam, Jabatan Penjara Malaysia membenarkan pelawat melawat penghuni penjara.
Menurut Timbalan Pengarah Kepenjaraan, Hafidz Othman, pihaknya menetapkan 15 Jun, iaitu Isnin ini untuk sesi lawatan perjumpaan ahli keluarga dan waris dengan banduan, tahanan serta penghuni penjara.
Bagaimanapun, katanya, bagi membendung penularan wabak Covid-19, pelawat perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.
“SOP itu ialah hanya dua pelawat sahaja dibenarkan untuk melakukan perjumpaan dengan banduan, tahanan atau penghuni.
“Pelawat perlu membuat tempahan terlebih dahulu dengan menggunakan kaedah tempahan perjumpaan secara atas talian menerusi sistem IVISIT atau tempahan perjumpaan secara panggilan telefon di institusi penjara yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata Hafidz, setiap pelawat wajib memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair sanitasi sebelum berurusan di kaunter pendaftaran.
Saringan suhu badan, katanya, perlu dijalankan terhadap pelawat sebelum dibenar masuk untuk berurusan di tempat pendaftaran perjumpaan.
“Mana-mana pelawat yang mempunyai gejala saluran pernafasan seperti batuk, selesema, sakit tekak atau demam iaitu suhu melebihi 37.5 C tidak dibenarkan untuk perjumpaan itu.
“Hanya pelawat yang telah membuat tempahan perjumpaan sahaja akan dibenarkan untuk menunggu di ruang menunggu pelawat,” katanya. – MalaysiaGazette