Temubual Malaysia Gazette bersama Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi di Damansara Perdana, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Bergelar senator sejak 20 Mei lalu, Ras Adiba Mohd. Radzi berjanji akan terus aktif dalam bidang sukan walaupun menjawat jawatan Ahli Dewan Negara.

Malah bekas personaliti televisyen itu berkata, sukan menembak akan terus menjadi acara kegemarannya.

Wanita berusia 51 tahun itu turut berharap dapat menarik lebih golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk mewakili negara di persada antarabangsa pada masa akan datang.

“Saya pasti akan terus aktif dalam sukan dan saya suka pergi ke pertandingan dunia kerana terus-terus saya cakap sukan menembak adalah sukar diramal.

“Sukan ini bermain dengan emosi yang kena stabil, pernafasan dan tidur kena cukup, tidak boleh minum benda yang manis seperti kopi atau coklat kerana takut degupan jantung menjadi laju

“Mata juga kena jelas kalau tidak jelas kena pakai kanta yang betul, banyak benda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh MalaysiaGazette di sini semalam.

Temubual Malaysia Gazette bersama Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi di Damansara Perdana, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 JUN 2020

Ras Adiba yang merupakan Presiden Orang Kurang Upaya Sentral mengangkat sumpah sebagai senator pada 20 Mei lalu bagi memegang jawatan itu bagi tempoh tiga tahun sebagai mewakili golongan OKU.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Menembak Paralimpik pernah menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Para Asia 2018 bagi acara menembak raifal 10 meter.

Selain menembak, ibu kepada dua anak itu juga aktif mengambil bahagian dalam beberapa acara sukan Paralimpik seperti marathon jarak jauh, berenang dan badminton.

Beliau telah dianugerahkan Tokoh Srikandi Negara pada tahun 2014 dan pernah dinukilkan dalam Malaysia Book Of Records selepas berjaya menolak kerusi rodanya dari Johor Baharu ke Putrajaya yang dilakukan dalam masa 10 hari dengan jarak 490 kilometer.

Mengulas lanjut, Ras Adiba memberitahu, selepas ini, beliau akan turun kembali berlatih untuk berbakti kepada negara walaupun tiada kejohanan yang terdekat yang disasarkan.

“Selepas ini saya akan kembali berlatih dan seterusnya wakili negara serta sebagai Presiden Persatuan Menembak Paralimpik, saya akan cari ramai lagi sahabat OKU untuk wakili Malaysia di persada antarabangsa.

“Ketika ini tiada kejohanan terdekat untuk disertai kerana Majlis Sukan Negara akan memberi fokus kepada Road To Tokyo.

“Selepas itu baru kami akan sediakan diri untuk pertandingan dunia yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

Temubual Malaysia Gazette bersama Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi di Damansara Perdana, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 JUN 2020.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast