KUALA LUMPUR – Mantan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dalam nada ‘sinis’ menolak dakwaan beliau memujuk pemimpin di Sabah untuk lompat parti.

Sebelum ini ada dakwaan, Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa Anifah cuba memujuk bekas menteri, Datuk Mohamaddin Ketapi menyertainya.

Sebaliknya, dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, Anifah rasa ‘terhibur’ malah terharu kerana Mohd Shafie masih mengingatinya walaupun sudah ‘pencen’.

“Saya ucapkan terima kasihlah kerana Ketua Menteri masih lagi ingat dan menyebut nama saya seperti ini walaupun kini saya sudah pencen. Walaupun tiada jawatan termasuk peringkat negeri, nama saya masih jadi sebutan.

“Mungkin jugaklah kerana jasa yang telah saya taburkan selama ini terlampau banyak kepada negara sehingga beliau susah sangat melupakan nama saya.

“Sebenarnya saya mempunyai kawan-kawan yang selalu hubungi saya, bincang dan minta pendapat tentang politik terutamanya di Sabah. Walaupun saya belum ada parti, mungkin dengan pengalaman saya sentiasa dicari.

“Sebagai seseorang yang cintakan negaranya, saya lebih fokus dalam usaha kembalikan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Sambung Anifah yang juga mantan Menteri Luar itu, isu Mohamaddin pula, mereka pernah belajar sama-sama di England dan sering bercakap dengannya mengenai Sabah.

“Saya berikan pandangan disebabkan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak buat masa ini walaupun bergabung hanyalah 56 kerusi maka buat masa ini harus bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam mendapatkan hak-hak Sabah.

“Itu juga pendapat sama kepada kawan-kawan lain juga. Patutnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu dikelilingi oleh orang-orang yang jujur, setia dan boleh dipercayai bukannya yang boleh dijual beli.

“Saya sememangnya terharu dengan ingatan Ketua Menteri Sabah tetapi patutnya anda lebih fokus dalam mencari penyelesaian rakyat berkaitan negeri ini. Cari jalan jana semula ekonomi negeri lagi-lagi dengan pandemik Covid-19.

“Jangan janji Ketua Menteri Sabah tinggal janji manis sahaja seperti janji terang bulan,” tegasnya. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohamaddin dipujuk lompat parti oleh Anifah

2 Komen

  1. Dia takut lah tu kapal layar karam di tanjung lipat…tunggu lah PRU15 org SABAH kasih karam tu kapal .

  2. Shafie apdal boleh naik kayak pastu d baham oleh jerung putus kepalanya..

Comments are closed.