Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Seramai 81 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Filipina telah selamat dibawa pulang dan telah tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam.

Kesemua mereka telah dibawa pulang dengan menaiki sebuah pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Labuan.

“Penerbangan ini turut disertai dua orang pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tiga orang pegawai perubatan TUDM.

“Mereka kini dikuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah selama 14 hari,” kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk makluman, kumpulan rakyat Malaysia ini telah berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City sejak Mac lalu dan mereka telah diberikan bantuan konsular serta perhatian sewajarnya oleh Pejabat Konsulat Jeneral serta Kedutaan Besar Malaysia di Manila.

“Bagi pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM yang telah membantu memudahkan urusan kepulangan rakyat
Malaysia dari Filipina ini.

“Sesungguhnya usaha ini amat besar nilai dan maknanya kepada negara dan sekaligus membuktikan anggota ATM dan rakyat berpisah tiada,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Selain itu, Hishammuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Republik Filipina serta semua
pihak yang bekerjasama dalam menjayakan misi berkenaan.

Pihak-pihak itu termasuklah Kedutaan Besar Malaysia di
Manila, Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Pejabat Kementerian Luar Negeri Wilayah Sabah, ATM, Polis
Diraja Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM dan MKN Sabah serta agensi-agensi lain
yang berkaitan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.