Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia melakukan pemeriksaan di sebuah premis ketika Operasi Bersepadu Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia menahan pendatang asing tanpa izin.

KUALA LUMPUR – Walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir 9 Jun lalu, polis tetap meneruskan Operasi Pematuhan dengan menahan dan mereman seramai 23 individu dalam tempoh dua hari pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

Dalam tempoh itu juga, seramai 61 individu dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 berikutan melakukan pelbagai kesalahan mengingkari prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun banyak kelonggaran dibenarkan, tetapi masih ramai yang diambil tindakan oleh polis atas pelbagai kesalahan melanggar SOP PKPP.

“Bukan bermakna apabila PKPB diganti dengan PKPP tidak ada tindakan undang-undang. Sesiapa sahaja yang tidak mematuhi arahan akan dikenakan tindakan.

“Ini bermakna, bawah PKPP sekali pun, rakyat perlu terus patuh SOP,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu memberitahu, sebanyak 3,748 pasukan pematuhan melibatkan seramai 16,743 anggota di seluruh negara telah melakukan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan.

Sementara itu, mengenai kawalan sempadan negara sepanjang tempoh dua hari kelonggaran PKP, kata beliau, polis telah membuat 61 sekatan jalan raya bawah Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa sebanyak 28,430 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatangi asing tanpa izin (Pati) melalui lorong tikus.

Katanya, dalam sekatan jalan raya itu, polis telah menahan seramai empat warga negara asing atas kesalahan Imigresen.

“Sehingga semalam juga, seramai 1,517 Pati telah ditahan di bawah Operasi Bersepadu atas pelbagai kesalahan imigresen

“Kita telah membuat saringan Covid-19 ke atas Pati yang ditahan ini dan mereka yang didapati positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, MAEPS di Serdang untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini jumlah kumulatif pesakit yang menerima rawatan di MAEPS adalah 813 individu dan dari jumlah itu, 430 PATI telah di discaj dan akan dihantar pulang ke negara asal mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast