Peguam kepada Zarina Anjoulie, Nurul Hafidzah Hassan hadir bagi pengurusan kes saman anak guamnya terhadap pelakon, Amyza Aznan berhubung isu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Pelakon Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul hari ini memohon mahkamah memutuskan penghakiman terhadap Amyza Aznan kerana gagal hadir ke mahkamah untuk kes saman fitnah yang difailkan terhadapnya sejak April lalu.

Nurul Hafidzah Hassan yang bertindak sebagai peguam Zarina berkata, ketidakhadiran Amyza menyebabkan  proses tuntutan anak guamnya tertangguh.

“Tiada kehadiran langsung dimasukkan (oleh Amyza) tidak tahulah dia mahu masukkan atau tidak.

“Sebab masa sudah panjang kita dah failkan tuntutan saman sejak April sekarang sudah nak masuk Julai,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah.

Menurut Nurul Hafidzah permohonan penghakiman itu dibuat secara  dalam talian.

Mahkamah kemudian menetapkan pendengaran dan keputusan permohonan tersebut pada 25 Jun 2020.

Zarina, 34,  memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap Amyza yang juga seorang pelakon berhubung kenyataan mengenai bantuan khusus untuk artis tempatan susulan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kesan wabak Covis-19.

Zarina selaku plaintif memfailkan saman itu pada 23 April lalu, menerusi Tetuan Nurul Hafidzah & Associates dengan menamakan Amyza 46, selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Pada 28 Mac lalu beliau memuat naik video di laman Instagram secara umum menyatakan bahawa “bantuan khusus” itu tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Zarina selaku plaintif dalam video itu menyuarakan pendapat bahawa golongan artis yang berkemampuan dan berpendapatan besar seharusnya sedar mereka adalah golongan yang sepatutnya mempunyai wang simpanan mencukupi untuk menyara diri mereka.

Rentetan daripada itu, satu kumpulan dikenali sebagai “BANTUAN COVID-SENI 2020” muncul di aplikasi Telegram membincangkan mengenai bantuan Covid-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Menggunakan platform tersebut Amyza didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Zarina menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram untuk paparan umum yang dimuat naik April lalu.

Akibat kenyataan fitnah itu, Zarina berkata  mengalami kemurungan kerana dimalukan, sedih, sakit hati dan reputasinya turut tercalar selain mendakwa plaintif menerima kecaman dan reaksi negatif daripada masyarakat. – MalaysiaGazette