Seorang pemandu teksi kelihatan termenung sambil menunggu pelanggan pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar KL Sental, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Lebih 200,000 pemandu teksi dan e-hailing di negara ini dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan barang keperluan asas susulan industri pengangkutan itu masih terjejas.

Pengarah dan Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa, meskipun industri itu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun jumlah penumpang menyedihkan.

“Saya mohon kepada semua pengilang dan pengeluar bahan mentah makanan tampil datang ke Big Blue untuk beri bantuan makanan.

“Ia membolehkan kami untuk mengagihkan makanan itu kepada pemandu-pemandu teksi khususnya yang berpendapatan rendah (B40) untuk menampung keperluan harian.

“Pendapatan mereka ini sangat kritikal dan memerlukan bantuan makanan,” katanya pada sidang media di Wisma Central, hari ini.

Sebelum ini, pihaknya ada menerima bantuan makanan daripada beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan syarikat GoJob.

Shamsubahrin juga mendakwa, dengan jumlah pelanggan sehingga tiga orang sehari, pemandu teksi dan e-Hailing tidak berupaya memulihkan pendapatan mereka berbanding sebelum tempoh PKP.

“Lebih 40,000 pemandu teksi dan 180,000 pemandu e-hailing masih memerlukan bantuan makanan.

“Sehari mereka hanya boleh mendapat RM20 hingga RM30 sehari, walaupun dia keluar kerja tapi pelanggan tiada.

Sementara itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberikan perkhidmatan teksi dan e-hailing beroperasi tanpa had masa.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan e-hailing dan teksi boleh beroperasi tanpa had masa.

“Bagaimanapun kita masih tiada pelanggan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kena faham ekonomi tak melonjak, rakyat pula masih was-was untuk guna perkhidmatan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette