SHAH ALAM – Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, hampir semua industri terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, yang turut menyaksikan pendudukan tempatan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
Namun, bagi menyokong pertumbuhan semula ekonomi setempat dan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup, Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) mengambil inisiatif mewujudkan Program Kad Kesetiaan Selangor.
Menurut Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi MITC, Fazli Abu Bakar, menerusi program itu, pihaknya memperkenalkan sistem kad diskaun pertama yang ditawarkan kepada penduduk tempatan, pengunjung dan pelancong untuk berbelanja dari banyak tempat di seluruh negeri.
Beliau berkata, program itu mampu meningkatkan kuasa beli dan mengimbangi manfaat situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Kad diskaun ini merangkumi sembilan skop perkhidmatan dan produk terpilih iaitu perkhidmatan kerajaan, pengangkutan, pusat rekreasi dan sejarah, penginapan, pusat jualan makanan dan minuman, pusat beli-belah, peruncitan, sukan dan pendidikan.
“Pelanggan hanya perlu menunjukkan kad ini untuk menikmati pelbagai diskaun menarik dari 10 hingga 70 peratus yang ditawarkan oleh rakan niaga MITC mengikut terma dan syarat ditetapkan,” katanya kepada media, hari ini.
Fazli menjelaskan, sistem kad diskaun itu berbeza dengan mana-mana kad diskaun lain kerana MITC turut menempatkan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan peniaga atas talian (online) untuk memberi banyak pilihan kepada pelanggan mendapatkan barangan keperluan harian.
Kemudahan itu, katanya, turut disediakan kepada pelanggan baharu untuk melihat kategori promosi dan pemasaran rakan niaga MITC menerusi laman web www.selangorloyaltycard.com.
“Sejajar dengan slogan kami ‘Di Selangor, Segalanya Jimat’, dan kami meletakkan sasaran pengguna kad ini kepada kira-kira 500,000 orang tahun ini, yang akan dijadikan pelanggan setia kepada rakan niaga MITC.
“Sebagai permulaan, kami giat melakukan pendaftaran rakan niaga dan jumlah penyertaan akan bertambah dari semasa ke semasa sebelum kad diskaun diedarkan di seluruh negeri.
“Usaha ini untuk menyahut seruan kerajaan melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebagai pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang akan dilaksanakan antara Jun dan Disember ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette