SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memutuskan untuk membuka semula perniagaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria secara berperingkat mulai 15 Jun ini.
Operasi perniagaan itu akan dimulakan di lokasi terpilih selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu, berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han, waktu operasi ditetapkan dalam tempoh itu ialah pasar pagi/terbuka dan tani dari jam 6 pagi hingga 11 pagi, pasar malam (jam 4 petang hingga 10 malam), dan bazaria (jam 5 petang hingga 12 malam).
“Memandangkan operasi struktur kategori perniagaan ini berbeza di setiap lokasi, kerajaan negeri bersetuju kaedah pengurusan dan kawalan bagi pembukaan pasar pagi, malam dan bazaria ditentukan oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.
“Mereka boleh menetapkannya mengikut kesesuaian atau keupayaan di kawasan dengan menjadikan prosedur standard operasi (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai rujukan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Sze Han menjelaskan, SOP itu antara lain ialah peniaga dilarang menggunakan khidmat warganegara asing dalam aktiviti perniagaan, jumlah peniaga termasuk pembantu terhad kepada tiga orang sahaja.
Manakala pengunjung pula, katanya, hanya dua orang bagi satu keluarga dibenarkan masuk ke kawasan pasar dan mesti berumur 13 tahun ke atas.
“Kepada pengunjung yang tidak tertakluk kepada had tempoh maksimum, digalakkan untuk tidak terlalu lama berada di tempat itu dan perlu segera beredar setelah selesai urusan pembelian.
“Laluan keluar masuk pengunjung akan disusun mengikut kedudukan tapak lokasi dan tidak terhad kepada satu laluan keluar masuk sahaja,” katanya.
Kata Sze Han, dengan keputusan itu, semua pihak perlu sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka, mematuhi penjarakan sosial dan menjaga kebersihan seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau turut menjelaskan, penggunaan Sistem SELangkah juga akan dilaksanakan di setiap lokasi dalam usaha membantu pihak berwajib untuk pengesanan punca kontak.
“PBT Selangor tidak teragak agak menutup operasi periagaan atau lain-lain tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan undang-undang sekiranya terdapat pelanggaran SOP,” tegasnya. – MalaysiaGazette