KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melepaskan peluang menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidinia Umar Al-Khattab, Bukit Damansara hari ini.
Beliau juga dilihat mematuhi prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menulis nama, diambil suhu dan membawa sejadah sendiri sebaik sahaja tiba di masjid.
Muhyiddin memuatnaik gambar beliau di masjid dalam media sosialnya hari ini.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, masjid dan surau Jumaat tidak dibuka untuk aktiviti solat berjemaah sebaliknya umat Islam disaran menggantikan solat Jumaat dengan sembahyang Zohor di rumah.
“Daripada pemerhatian saya, pengurusan masjid telah memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dipatuhi. Lebih membanggakan saya, para jemaah juga mematuhi peraturan yang dilaksanakan dengan tertib,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin juga memberitahu, berdasarkan pemerhatiannya, para jemaah memberikan kerjasama yang baik dengan berbaris dan merekodkan bacaan suhu badan masing-masing sebelum dibenarkan memasuki masjid.
Jemaah juga, katanya, membawa sejadah sendiri dari rumah dan duduk dalam jarak satu meter antara jemaah di dalam saf.
“Saya berdoa situasi Covid-19 di negara kita yang semakin reda akan pulih sepenuhnya bagi membolehkan seluruh umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid dan surau seperti sebelum wabak ini melanda negara kita. Insya-Allah,” katanya.- MalaysiaGazette