Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dengar keluhan rakyat yang terkesan dengan isu tiket penerbangan sepanjang penguatkuasaan tempoh penerbangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Desakan itu turut ditujukan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong supaya dapat mengambil serius masalah itu dan menyelesaikannya demi kepentingan rakyat, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Shahir Adnan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata, secara amnya rakyat tidak dapat melakukan penerbangan sepanjang tempoh PKP dan PKPB kerana dikenakan sekatan merentas negeri dan pintu keluar negara ditutup.

“Rakyat yang berdisiplin sememangnya telah membuat perancangan awal untuk membeli tiket bercuti seawal tahun sebelum PKP dilaksanakan, tetapi semasa PKP dan PKPB rakyat terpaksa patuh arahan kerajaan dan melupakan hasrat penerbangan merentasi sempadan.”

“Malahan tiket penerbangan mereka yang telah dibeli awal tidak dapat digunakan. Namun syarikat penerbangan bersikap pentingkan diri sendiri kerana tidak memberikan kelonggaran kepada rakyat.

“Alasan hanya memberikan credit note dengan tempoh sah laku terhad daripada syarikat penerbangan sebenarnya menganayai pengguna disaat destinasi yang terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Tambah beliau pihaknya telah menghubungi Suruhanjaya Penerbangan dan Tribunal Pengguna untuk mendapatkan penjelasan berhubung kesulitan berkenaan yang dihadapi rakyat, tetapi jawapan yang diterima sangat mendukacitakan.

Keluh Shahir, pihak berkenaan seharusnya menjuarai isu rakyat dan bukan hanya sekadar menyatakan rasa simpati dalam notis jawapan mereka dalam aduan rakyat tanpa ada sebarang usaha dilakukan untuk melindungi pengguna.

Menurut beliau, rakyat dari Sabah dan Sarawak pula terpaksa menghadapi isu kenaikan harga tiket penerbangan yang mendadak pada waktu PKPP kali ini iaitu sebanyak tiga hingga empat kali ganda pada waktu harga bahan api dunia masih di paras rendah sebenarnya mendukacitakan.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, rakyat wajib diberikan penjelasan yang munasabah mengenai harga tiket penerbangan.

“Adakah rakyat terpaksa menanggung harga tiket disebabkan penjarakan sosial di dalam pesawat? Bayangkan, harga tiket ke Sarawak dari Semenanjung kini menyamai harga tiket ke London.

“Adalah diharapkan menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Penerbangan Malaysia untuk melindungi hak rakyat dengan misi mereka untuk menggalakkan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial berorientasikan pengguna dan berdaya saing dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“DPIM berharap syarikat penerbangan dan kementerian berkaitan tampil segera menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan akibat kenaikan tiket penerbangan tanpa melengahkan masa” tegasnya-MalaysiaGazette