Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan 18 kematian daripada 4,371 kes denggi yang dilaporkan sejak awal tahun ini hingga 6 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata, daripada jumlah kematian itu, 12 daripada mereka berada dalam lingkungan umur produktif iaitu 20 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, penyumbang utama kematian adalah disebabkan faktor lewat mendapatkan rawatan.

“Johor Bahru mencatatkan kes tertinggi denggi dengan 80.7 peratus, diikuti Kluang (3.6 peratus), Kulai dan Segamat (masing-masing 3.3 peratus), Batu Pahat (2.6 peratus), Mersing (2.3 peratus), Kota Tinggi (1.3 peratus), Muar (1.2 peratus), manakala Pontian dan Tangkak (masing-masing 0.9 peratus).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,099 kes atau 48 peratus adalah dari lokaliti wabak denggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai gejala seperti demam, sakit kepala, sakit badan dan sendi serta ruam di badan. – Bernama