PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial mengatakan berlaku jangkitan Covid-19 terhadap seorang kanak-kanak Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini tiada laporan mengenai perkara tersebut.
“Apa yg dimuatnaik di Facebook, tak benar. Jadi ktia tidak ada pun laporan kes tersebut tapi kita masih jalankan saringan berterusan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di sini.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah terdahulu hari ini menafikan seorang kanak-kanak di Kampung Huma dijangkiti oleh saudara dari Negeri Sembilan.
Sementara itu, JKN turut memaklumkan sedang menyiasat kes positif seorang pelajar tahfiz dari Negeri Sembilan yang pulang ke Alor Janggor, Alor Setar untuk melawat neneknya pada 13 Jun yang lalu.
Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, akan terus membuat pemantauan dan saringan di kalangan pelajar tahfiz.
Ujarnya, maklumat semua 120 pusat tahfiz seluruh negara telah dikenal pasti oleh KKM kerana kumpulan ini merupakan antara tumpuan berikutan peratusan jangkitan di kalangan pelajar tahfiz adalah 4.1 peratus.
“Kalau keseluruhannya jangkitan kita sekarang ini hanya 1.3 peratus. Iaitu setakat hari ini kita ada 8,453 kes yang positif daripada saringan kita 651,344 yang kita telah saring ini menunjukkan saringan hanya 1.3 peratus tetapi pelajar tahfis 4.1 peratus jadi saringan akan tetap dijalankan,” jelas beliau.-MalaysiaGazette