JOHOR BAHRU – Selebriti dan deejay terkenal, Patrick Teoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bulan lepas.

Teoh atau nama sebenarnya Teoh Kang Yong, 73, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Teoh didakwa secara sedar membuat kenyataan itu mengggunakan akaun Facebooknya pada pukul 5.00 petang, 8 Mei dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Subseksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 233(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kamarudin kemudian memerintahkan Teoh membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai depan bagi penyerahan dokumen dan sebutan kes.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Mohd Syafiq Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Wong Hong Yi dan M. Puravalen.

Terdahulu, Teoh yang berkemeja lengan panjang berwarna biru tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru, kira-kira pukul 8.15 pagi, ditemani isterinya Chan Hui Min, 52.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, seorang pemilik kedai alat telekomunikasi turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan berjumlah RM500 kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Kluang pada 20 April lepas.

Tertuduh, Chan Yee Seong, 36, didakwa memberikan suapan itu kepada Chandran Dorasamy sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan kompaun terhadapnya yang ingkar membuka premis miliknya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, dua bulan lepas.

Chan dituduh melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Majlis Perbandaran Kluang, pada pukul 11.35 pagi, mengikut Seksyen 109 Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah suapan yang mana lebih tinggi.

Kamarudin turut memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ikhsan manakala tertuduh diwakili peguam Chua Shyue Chien. – Bernama