KUALA LUMPUR – Seramai 44 individu ditahan polis kerana berada dalam pub dan kelab malam, iaitu antara dua aktiviti yang masih tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.
Selain itu, 14 individu yang leka mendapatkan perkhidmatan rawatan refleksologi atau urutan tapak kaki juga ditahan atas kesalahan ingkar dengan pematuhan PKP Pemulihan (PKPP).
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keseluruhan tangkapan dibuat sehingga tengah malam semalam ialah 63 individu, termasuk tujuh dari mereka ditahan kerana kesalahan menyukarkan penjarakan sosial.
“Walaupun PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) sudah berakhir, SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetap diteruskan dalam tempoh PKPP.
“Sehingga semalam, iaitu hari kelima PKPP, polis melalui Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 69,051 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, dalam Ops Benteng, seramai 822 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 144 tekong telah ditahan kerana cubaan memasuki sempadan negara secara haram.
Turut ditahankan, 12 individu yang disyaki penyeludup beserta 15 kapal.
Sebanyak 65 sekatan jalan raya menerusi Ops Benteng telah diadakan bagi mengekang kemasukan Pati dari sempadan.
“Kerajaan sudah menyatakan, akan mengambil tindakan tegas mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama lorong tikus.
“Pati yang ditahan akan menjalani saringan Covid-19 dan jika didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang untuk rawatan.
“Sejak 21 Mei sehingga semalam, seramai 819 Pati dirawat dan 503 dari mereka pulih dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya. – MalaysiaGazette