BANDAR GAZA/ISTANBUL – Rakyat Palestin pada Ahad mengadakan pengebumian bagi 100 mangsa termasuk 60 kanak-kanak yang ditemukan di bawah runtuhan kediaman yang musnah di kawasan kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza, ketika perang genosid Israel ke atas wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi.

Ribuan rakyat Palestin termasuk anggota keluarga mangsa serta tokoh masyarakat dan politik menghadiri upacara berkenaan, dengan jasad dan sisa mayat ditempatkan di kawasan berhampiran runtuhan kediaman yang musnah serta diselubungi bendera Palestin.

Pengebumian itu turut disertai ucapan penghormatan oleh Pertahanan Awam Gaza, yang pasukannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa, selain wakil keluarga mangsa dan tokoh masyarakat.

Jasad dan sisa mayat itu dijangka dikebumikan di tanah perkuburan Al-Ahli di kawasan kejiranan Zeitoun selepas solat jenazah.

Pasukan Pertahanan Awam menemukan mangsa sejak beberapa hari kebelakangan ini menerusi fasa kedua projek yang dilancarkan pada 19 Julai bagi mengeluarkan mayat rakyat Palestin yang masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, mangsa terdiri daripada anggota keluarga Rahim, Balawi, Malaka, Qanbour dan Salmi yang terbunuh apabila tentera Israel menyerang beberapa kediaman kira-kira dua tahun setengah lepas.

Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan sumber yang terhad, termasuk hanya beberapa jengkaut serta peralatan yang semakin uzur, ekoran sekatan Israel terhadap kemasukan jentera berat dan peralatan yang diperlukan untuk mencari mangsa di bawah runtuhan.

PERPISAHAN YANG TERTANGGUH

Pengebumian itu menyaksikan suasana pilu apabila anggota keluarga mangsa akhirnya dapat melihat insan tersayang yang tidak sempat mereka ucapkan selamat tinggal sejak terbunuh dan tertimbus di bawah runtuhan.

Mahmoud Murtaja, kehilangan isterinya yang ketika itu hamil sembilan bulan serta anak perempuannya berusia tiga tahun, berkata dia sedang menantikan kelahiran anaknya apabila menerima berita bahawa anggota keluarganya terbunuh dalam serangan itu.

Dia memberitahu Anadolu bahawa sisa mayat isteri, anak perempuan serta anak dalam kandungan itu tertimbus di bawah runtuhan selama hampir tiga tahun, sambil berkata penemuan mereka “membuka semula luka” kerana dia tidak berpeluang melihat mereka buat kali terakhir atau memeluk anak yang kelahirannya dinantikan.

“Seolah-olah mereka dibunuh semalam. Mereka kini berada di hadapan anda, tetapi anda tidak dapat memeluk atau mengucapkan selamat tinggal kepada mereka. Yang tinggal hanyalah tengkorak dan tulang,” katanya.

SUMBER TERHAD

Anggota Majlis Perbandaran Gaza Mustafa Quzaat berkata suasana itu menggambarkan penderitaan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan selama lebih dua tahun setengah, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Beliau memberitahu Anadolu bahawa keadaan sama mungkin berulang di kawasan kejiranan lain sekiranya sumber yang diperlukan tidak tersedia, sambil menyatakan bahawa perang itu telah menghapuskan seluruh keluarga.

Pengarah Pertahanan Awam di Bandar Gaza Raed al-Dahshan berkata operasi mengeluarkan mangsa “amat memenatkan dan sukar” berikutan kemusnahan yang meluas serta kekurangan peralatan berat.

Beliau berkata kira-kira 60 kanak-kanak adalah antara mangsa yang jasad dan sisanya berjaya dikeluarkan, sambil menambah kekurangan peralatan kekal menjadi halangan utama untuk mempercepat operasi mencari dan mengeluarkan mangsa.

Menurut Anadolu, upacara pada Ahad itu antara pengebumian terbesar dalam sejarah Palestin berdasarkan jumlah jasad dan sisa mayat yang dikebumikan.

Upacara serupa diadakan pada awal Ogos bagi 112 rakyat Palestin yang ditemukan di bawah runtuhan kediaman di kawasan kejiranan Sabra, Bandar Gaza.

Fasa kedua projek mengeluarkan mangsa itu melibatkan 800 jam kerja di 147 kediaman yang musnah di seluruh Bandar Gaza serta kawasan utara dan tengah wilayah berkenaan, dengan 1,072 jasad dipercayai masih tertimbus.

Fasa pertama bermula pada akhir November 2025 dan melibatkan 500 jam kerja.

Pasukan Pertahanan Awam berjaya mengeluarkan kira-kira 333 jasad dan sisa mayat daripada anggaran 559 orang yang hilang di bawah runtuhan 54 kediaman dan bangunan.

Di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, Israel dijangka membenarkan kemasukan jentera berat dan peralatan yang diperlukan untuk operasi mengeluarkan mangsa, menurut pihak berkuasa Palestin di wilayah itu. – BERNAMA-ANADOLU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here