KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kesnya yang didakwa meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diketahui sebentar lagi.

Keputusan itu akan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan selepas perbicaraan berhubung permohonan itu sekejap lagi.

Gopal Sri Ram yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan cuba di gugurkan oleh Najib atas alasan ‘berat sebelah’ serta mempengaruhi integriti proses perbicaraan.

Jumaat lepas, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan kepada media bahawa permohonan itu disokong dua afidavit, yang difailkan oleh Najib dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Beberapa hari lepas juga, pendedahan mengejutkan oleh Apandi berhubung ‘tindak tanduk’ Gopal Sri Ram yang didakwa cuba mengarahkan beliau menangkap Najib pada awal Januari 2018, empat bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Apandi menulis tentang pendedahan tersebut di laman Facebook beliau Khamis lalu sambil memberikan bayangan ada ‘lagi’ pendedahan menyusul.

“Pada petang Januari 2018, Sri Ram bersama seorang peguam muda berbangsa Cina datang ke rumah saya kerana mahu bercakap secara peribadi.

“Sri Ram meminta saya agar tidak membekukan beberapa akaun firma guaman namun saya jelaskan perkara itu sudah dijawab dalam respons permohonan representasi yang dikemukakan beliau kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini.

Dakwa Apandi lagi, Sri Ram kemudian tiba-tiba menyatakan perkara itu sekadar alasan untuk bertemu dengannya.

“Beliau menyatakan ada agenda besar dan Dr Mahathir menghantarnya untuk menemui saya.  Sri Ram memberitahu saya bahawa Dr Mahathir mahu beliau menangkap Najib di pejabatnya jam 2 petang keesokan harinya.

“Sri Ram mengatakan segalanya telah diatur dan polis di Putrajaya akan melakukan apa yang perlu atas arahan saya (kapasiti Peguam Negara).

“Katanya lagi, hakim telah diaturkan supaya perintah tahanan reman dikeluarkan terhadap Najib, saya juga dikatakan akan menjadi AG pertama yang menangkap Perdana Menteri,” dedahnya.

Apandi berkata, beliau bertanya Sri Ram atas alasan apakah tangkapan tersebut dibuat, namun bekas hakim itu sekadar menjawab, rakyat kecewa dengan Najib.

Bagaimanapun Apandi tidak bersetuju dengan permohonan sebaliknya hanya meminta masa untuk memikirkan perkara tersebut.

Apandi berkhidmat sebagai Peguam Negara dari tahun 2015 hingga 2018.

Pada 4 Jun 2018, perkhidmatan Apandi ditamatkan selepas diberi cuti tanpa rekod selama 30 hari oleh Tun Mahathir yang mengambil alih pentadbiran negara dan tempatnya digantikan dengan Tan Sri Tommy Thomas.

Najib ketika ini berhadapan dengan tuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Setakat ini tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perbicaraan audit 1MDB akan bersambung sejurus selepas perbicaraan permohonan menggugurkan Gopal Sri Ram tamat. –MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Wow patutlah Hari pertama Hatok Der jd piyem “Sang Lilit Pale Ketat” cam Rabuat Pit g serbu, rupanya telah dirancang awal segala senjata serangan. Boboy relex boboy nanti sekali hanak beranak kena hangkut dengan dedy dedy sekali berdoalah agar tuhan beri dia nyawa sehingga setahun lepas PRU15. Rakyat nak sangat kes ini dilakukan.. boboy watper tu?? kemas harta dalam guni ke, nak hangkut pi mana tu???

  2. Lilit kepala sekor tu pun kena caru dan tangkap, sumbat dalam lokap dulu kerana menjalankan serbuan dan penggeledahan haram ke rumah DSNR dulu.

Comments are closed.