KKM tidak pernah mengarahkan swab test dilakukan dari rumah ke rumah, kecuali bawah kawasan PKPD.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan aktiviti penipuan kumpulan tertentu menyamar sebagai anggota Kementerian Kesihatan (KKM), melakukan ujian swab Covid-19 dari rumah ke rumah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM telah mengesahkan tidak pernah mengarahkan pegawai atau kakitangan dari mana-mana bahagian dan unit untuk membuat saringan kesihatan rumah ke rumah.

“Kita mengesyaki kumpulan ini menyamar sebagai pihak berkuasa KKM dan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran palsu untuk melakukan penipuan dan rompakan.

“Setakat ini KKM hanya melakukan swab test di kawasan yang diisytiharkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sahaja.

“Kalau di luar kawasan PKPD, tidak ada. Saya bimbang ini satu rompakan dan orang ramai dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya pada sidang media khas pandemik Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau diminta mengulas rakaman video yang tular di media sosial berhubung tindakan sekumpulan lelaki menyamar anggota KKM dan menggunakan sebuah kenderaan bertulis “Kementerian Kesihatan”, melakukan ujian swab dari rumah ke rumah.

Menurut Ismail Sabri, KKM telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan mendapati nombor pendaftaran yang tercatat pada van berkenaan adalah milik sebuah Perodua Myvi yang dilaporkan dicuri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast