Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia membantah sekeras-kerasnya pelantikan peguam Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari melahirkan rasa kesal kerana jawatan itu tidak sesuai diisi oleh seorang yang lantang mempersoalkan ajaran dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

“Pemuda Pas membantah sekeras-kerasnya pelantikan tersebut serta mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah agar menarik balik pelantikan Eric serta-merta.

“Pemuda Pas percaya masih ramai yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut.

“Eric begitu dikenali dengan kenyataan keras yang mengundang resah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malah sikap sinisnya terhadap Islam sebagai agama Persekutuan serta tidak menghormati asas-asas kontrak sosial yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia tidak selari dengan dasar PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan penubuhan MPKM sebagai satu platform bagi kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada semua pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu-isu komunikasi dan multimedia.

MPKM dipengerusikan oleh menteri dan dianggotai 15 ahli yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM, wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang, badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya

Dalam pada itu, walaupun kedudukan Eric hanyalah sebagai ahli mesyuarat, namun ia tetap memberi kesan kerana MPKM membincangkan berkenaan polisi dan dasar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan kerajaan.

“Ideologi yang beliau anuti dan pemikiran beliau sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada dasar dan polisi tersebut.

“Ia sudah pasti bertentangan dengan matlamat dan halatuju PN lantas menjadi suatu barah yang akan merosakkan PN serta Kerajaan Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, individu ekstrem seperti Eric tidak boleh diterima di negara ini, apatah lagi yang lantang menyerang dan mempersoal kedudukan Islam.

“Pemuda Pas ingin mengingatkan bahawa kami akan terus berperanan untuk memastikan tiada ruang buat mereka yang berideologi liberal ekstrem dan lantang menentang Islam untuk berada dalam mana-mana platform kerajaan PN dan kerajaan Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dulu ramai yang menyangka dia ni orang puteh? Rupa2nya seorang Ah Kau yang pernah kontroversi mempertikai kandungan kutbah Jumaat?

    Kah..kah..kah..

  2. Ko timbalan pemuda ja x der jwtan dlm kera jaan x yah nk bising2… 2 lebai berjwtan menteri x bantah ko plak lebih2.. Kahkhakahkah…makin bercelaru lah PN nih…serabut weyyy
    yg anti isle dilntiknyer.. PN gilosss dhh oii

Comments are closed.