He Xiangjian

BEIJING – Lima ditahan selepas terlibat dalam percubaan menculik He Xiangjian, antara individu terkaya di China.

He adalah pengasas Midea Group, syarikat pengeluar kelengkapan kediaman terbesar di dunia.

Polis dimaklumkan dengan kejadian pecah rumah di vila mewah He di bandar Foshan di wilayah Guangdong oleh anak lelakinya selepas menyedari rumah mereka diceroboh.

Semua yang terlibat telah ditahan dan tiada siapa yang cedera, kata polis.

Anak lelaki He kemudian menyelinap keluar dari vila tersebut dan berenang menyeberangi sungai berdekatan untuk meminta pertolongan.

Polis di Foshan menerima panggilan pada hari Ahad malam yang mengatakan sekumpulan suspek telah memasuki vila mewah He dan dipercayai membawa alat letupan.

Panggilan itu dipercayai dibuat oleh He Jianfeng, anak hartawan berusia 55 tahun dan salah seorang pengarah Midea Group.

South China Morning Post melaporkan penduduk tempatan berhampiran kediaman tersebut telah diarah untuk berada dalam kediaman masing-masing antara lewat petang Ahad hingga pagi Isnin sementara polis bertindak.

Polis Foshan yang mengeluarkan kenyataan mengesahkan telah menahan lima suspek dan sedang menyiasat insiden tersebut.

Midea Group yang membuat hantaran di laman Sina Weibo mengucapkan terima kasih kepada polis, media dan masyarakat atas keprihatian yang diberi dan turut berkongsi kenyataan polis.

He memiliki kekayaan bernilai AS$24.8 bilion dan merupakan individu keenam terkaya di China, menurut Forbes dan 36 terkaya di dunia.

Beliau membangunkan Midea dari bawah semasa berusia 26 tahun.

He juha menjadi pemilik syarikat robotik terbesar di dunia iaitu Kuka. – MalaysiaGazette