Abdul Jalil Abdul Rasheed

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Abdul Jalil Rasheed supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau menerima gangguan panggilan telefon dari nombor tidak dikenali.

SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut termasuk tentang berlakunya penggodaman ke atas akaun e-mel korporat dan profil Linkedin milik Jalil.

“Sehubungan itu, beliau dinasihatkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM untuk penelitian serta siasatan lanjut,” kata SKMM.

Semalam Jalil dalam bebenang ciapan di laman Twitter mendakwa berhadapan dengan gangguan panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.

Beliau mengakui kejadian-kejadian tersebut meningkatkan kebimbangannya terhadap kesejahteraan keluarganya.

Jalil telah menghantar surat peletakan jawatan kesemua jawatan di PNB dan syarikat-syarikat berkaitan semalam  memberitahu, beliau dan keluarganya telah mengeluarkan perbelanjaan besar untukberpindah ke Kuala Lumpur dari Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: CEO PNB Jalil Rasheed letak jawatan

Malah, isterinya turut mengorbankan cita-cita bagi membolehkan beliau meneruskan karier di sini.

Jalil berkata, beliau mahu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya tidak pernah tertarik dengan faedah-faedah yang saya peroleh. Saya selalu berniat baik, melakukan perkara yang baik. Jadi serangan peribadi ini tidak berbaloi.

“Saya kecewa kerana ia berakhir begini secara mengejut,” kataya.

Jalil menerajui PNB pada 1 Oktober tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jalil dakwa diganggu dengan kata-kata kesat

Berdasarkan maklumat PNB, Jalil merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam perakaunan dan kewangan dari London School of Economics and Political Science (LSE), United Kingdom.

Bagaimanapun, difahamkan, Jalil disahkan telah mengikuti pengajian sebagai penuntut luar dan lulus pengajian di University of London (UoL) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kelas ketiga kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan pada 1 Ogos 2003.

Dalam sijil tersebut tertera UoL adalah sekutu dengan London School of Economics and Political Science (LSE). – MalaysiaGazette