Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Prosedur standard operasi (SOP) pembukaan sesi pengajian maahad tahfiz di seluruh negara akan diumumkan dalam waktu terdekat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri berkata, pihaknya telah kemukakan cadangan SOP itu pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ada beberapa mekanisme yang perlu dikemaskinikan.

Katanya, kerajaan memahami denyut nadi maahad tahfiz kerana ada di kalangan pelajarnya akan menduduki peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan sebagainya.

“Namun, dalam pembentangan SOP kita iaitu pada mesyuarat MKN baru-baru ini, masih ada dua tiga perkara yang perlu disusun atur dan kemaskan.

“Sebelum sesi persekolahannya dibuka, satu perkara yang penting kita ambil berat ialah SOP. Apakah pelajar boleh mematuhi SOP sebagaimana Kementerian Pendidikan kemukakan untuk sesi persekolahannya?,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan MoU antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Wakaf Integrated Holistic Education System (IHEP) di ibupejabat MAIWP di sini, hari ini.

Menurut Dr. Zulkifli, pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berkolaborasi dengan setiap negeri untuk memastikan bagaimana setiap maahad tahfiz mematuhi SOP ditetapkan.

“Ia seperti solat. Apabila kerajaan membenarkan solat di masjid dan surau, ada negeri membenarkan 30 jemaah, ada yang 40 jemaah. Di Wilayah Persekutuan pula membenarkan satu per tiga dari keluasan masjid.

“Begitu juga dengan sesi persekolahan maahad tahfiz, SOP ini turut mengambil kira keadaan di negeri-negeri,” katanya.

Mengenai MoU itu, beliau menjelaskan, pelajar Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA) bawah MAIWP kini memiliki potensi kerjaya yang semakin baik apabila setiap mereka berpeluang mengenggam Diploma Syariah Islamiyah.

Kata beliau, pelajar juga berpeluang melanjutkan pengajian di KPBKL dalam diploma itu selama dua setengah tahun dengan kos yang lebih rendah iaitu RM1,800 berbanding kadar yuran biasa RM18,000.

“PMA menggunakan empat Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Turath Arabi, Turath Jawi dan Hafazan al-Quran yang bermatlamat untuk melahirkan cendekiawan Islam yang mahir dalam ilmu agama dan duniawi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast