PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) untuk menempatkan pegawai penguatkuasa itu di pejabatnya.
Beliau menjangkakan perkara itu dapat direalisasikan dalam sedikit masa lagi bagi menterjemahkan pendiriannya yang mengutamakan integriti dan akauntabiliti dalam urustadbir Islam.
Katanya, beliau berhasrat agar semua urustadbir di Jabatan Perdana Menteri (JPM) terutama Hal Ehwal Agama dan agensi di bawahnya bekerja serta berkhidmat dengan telus dan profesional.
“Selain perubahan baharu dengan penempatan pegawai Tabung Haji dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di pejabat menteri di JPM bagi tujuan pemantauan yang lebih efektif, saya juga berhasrat menempatkan pegawai SPRM di pejabat saya.
“Hal ini sedang dalam proses dan akan direalisasikan sedikit masa lagi. Semoga ini menjadi satu usaha yang dipandang di sisi Allah dalam memaknakan konsep amanah dalam Islam, insha-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan memerlukan dan sidang media 100 hari beliau sebagai Menteri di JPM di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.
Menurut Dr. Zulkifli, sebelum ini juga beliau memanggil pegawai dari Jabatan Akauntan Negara untuk mengaudit segala dokumen kerja berkaitan kewangan bagi memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.
Bagaimanapun, katanya, jangan sampai pihaknya tidak boleh melakukan kerja untuk rakyat dengan peraturan dan syarat dikenakan.
Ditanya apa tanggungjawab yang mencabar sepanjang 100 hari sebagai menteri, beliau menyatakan semua cabaran yang dilaluinya dapat ditempuhi dengan baik, kecuali masa.
“Yang penting dalam pekerjaan, perkhidmatan ialah masa. Saya sentiasa menitikberatkan soal masa kerana ia akan menentukan tahap tugasan dan amanah yang kita pikul.
“Saya mahu JPM Hal Ehwal Agama ini sentiasa berusaha mengorak langkah ke hadapan untuk menjadi contoh. Sekarang, masanya untuk kita terus bergerak dan bertindak dengan pantas,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary dan semua warga JPM kerana memberi kerjasama sangat baik sehingga banyak perkara dapat diselesaikan dengan mudah dan lancar.
“Ahmad Marzuk banyak bersama saya memberikan buah fikiran dan menggalas tanggungjawab ini sebagai rakan sekerja saya dengan jayanya.
“Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi di bawah saya seperti Jakim, MAIWP, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jawi, YaPEIM, Tabung Haji, Yadim dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette