Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 16 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menafikan mesyuarat malam tadi ada membincangkan soal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secara mengejut tetapi bukan secara khusus.

Perkara tersebut, katanya, dibincangkan secara umum dalam susulan kerajaan hari ini terus diganggu oleh pembangkang.

“Ada bincang secara umum tentang cakap-cakap kemungkinan hendak adakan snap election (pilihan raya mengejut) tapi itu belum isu lagi belum berbangkit.

“Itu semua spekulasi awal. Jadi takkan terus nak bincang bagi kerusi dah,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Menara Dato’ Onn malam tadi.

Beliau mengulas mengenai pelbagai usaha Pakatan Harapan (PH) untuk merampas Kerajaan Persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN).

Ini termasuklah mendakwa mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk semula kerajaan PH Plus.

Annuar juga menyifatkan permintaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenai jumlah kerusi Parlimen yang bakal ditandingi dalam PRU-15 sebagai sesuatu yang biasa.

Beliau turut memperincikan perbincangan umum mengenai persiapaan UMNO bagi menghadapi pilihan raya mengejut termasuk kedudukan dan hala tuju parti itu.

“Perbincangan secara umum itu tentang memperkasakan kedudukan kita dan apakah agenda yang harus kita mainkan

“Ini termasuklah sebagai sebuah parti teras orang Melayu, Islam dan kita juga mendengar pandangan-pandangan termasuk daripada penasihat UMNO,” katanya.

Sementara itu, Annuar menafikan mesyuarat MT UMNO malam ini membincangkan cadangan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Tidak ada, kita lusa ada mesyuarat bersama jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Barangkali di situ ada bincang. Malam ini perbincangan secara umum, secara biasa,” katanya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Annuar berharap Barisan Nasional (BN) diberi peluang untuk menang tanpa bertanding susulan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kita berharap supaya BN diberi peluang untuk menang tanpa bertanding supaya kesulitan bertanding di masa PKPP berkuatkuasa.

“Saya sebagai orang yang bertanggungjawab dalam PRK kena buat persiapan PRK,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Samada pilihan raya mengejut ataupun tidak, tarikh untuk tujuan tersebut bukanlah lama mana lagi?

    Eloklah MN dan sekutu2nya duduk bincang baik2, rumus strategi terbaik untuk memastikan kemenangan majoriti 2/3! Teruskan engagements dengan orang2 kampung, felda dan taman2 perumahan.

Comments are closed.