Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Seramai 64 orang yang dikaitkan dengan sebuah pusat penjagaan warga emas di Kuala Selangor telah menjalani saringan Covid-19 dan tujuh daripada mereka disahkan positif pandemik tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 43 lagi negatif Covid-19 manakala 14 pula masih menunggu keputusan saringan.

“Saringan dilakukan kepada 12 kakitangan, 24 penguhuni, 10 ahli keluarga mangsa, 13 petugas kesihatan dan lima orang awam,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19 di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini pusat jagaan tersebut masih beroperasi seperti biasa dan penghuni telah dikuarantin di situ.

“KKM akan terus memantau keadaan kesihatan penghuni rumah jagaan warga emas tersebut. Mereka yang bergejala akan dimasukkan ke hosopital untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di pusat jagaan berkenaan.

Kakitangan juga, katanya, telah diberikan taklimat tentang amalan pencegahan seperti penjarakan sosial dan pemakaian Pakaian Pelindung Diri (PPE) semasa penguruskan penghuni.

Untuk rekod KKM pada 15 Jun mengenal pasti kluster warga emas di pusat penjagaan warga emas di Kuala Selangor.-MalaysiaGazette