PUTRAJAYA – Satu program besar yang dikenali sebagai MYHaus bakal dilancarkan Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut beliau, program tersebut menyediakan bantuan kewangan melalui dana wakaf bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa, berbanding tempat kediaman terdahulu.
Katanya, matlamat program itu adalah untuk meningkatkan dengan segera kualiti hidup golongan berkenaan secara fizikal dan spiritual.
“Komponena projek di bawah MYHaus ini terbahagi kepada beberapa kategori, antaranya membina semula rumah atau membina baharu, membaikpulih rumah dan membaiki kerosakan.
“Semuanya akan disiapkan dalam tempoh lebih kurang 10 hari sahaja dan pada masa sama, program pendidikan kerohanian dan kesedaran sivik ditekankan kepada isi rumah agar pembangunan yang seimbang dapat dikecapi mereka.
“Isu lain seperti kebersihan, pendidikan seks menurut Islam dan aktiviti kerohanian adalah antara yang menjadi keutamaan bagi projek MYHaus, selain pembinaan fizikal rumah,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan sambutan 100 hari sebagai menteri di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.
Mengenai hasrat rakyat untuk mengetahui apa yang telah dilaksanakan oleh beliau sepanjang pentadbiran baharu, Dr. Zulkifli menjelaskan, segala laporan apa juga aktiviti dan program kepada masyarakat disebarkan menerusi laman sesawang www.mira.gov.my.
Kata beliau, laman sesawang itu yang dilancarkan empat hari lalu sudah mencatatkan kira-kira 20,000 kunjungan pelawat.
“Laman sesawang ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah kerajaan Malaysia. Segala info berkaitan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama akan disebarkan melalui platform ini.
“Malah, menjadi tanggungjawab kami untuk telus dalam melaporkan apa sahaja aktiviti dan program kepada masyarakat dengan menyalurkan laporan padat dan informatif,” katanya.
Sementara itu, Dr Zulkifli turut mengajak umat Islam di Wilayah Persekutuan mengimarahkan masjid dan sudah yang telah mula dibuka di zon hijau dan kuning sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Katanya, walaupun sudah dibuka, had jemaah bagi sesebuah masjid hanya satu per tiga dari kapasiti dewan solat utama.
“Sudah terlalu lama kita tidak dibenarkan solat di masjid dan surau, iaitu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu lagi.
“Saya sendiri pun beberapa kali solat di ruang pejalan kaki di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan di hadapan pintu pagar surau yang berkunci.
“Kita amat memahami yang ia adalah untuk kemaslahatan kita juga sepanjang negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Terdahulu, beliau mengimamkan solat zohor berjemaah dan solat sunat hajat.
Menurut Dr. Zulkifli, beliau dimaklumkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah bersiap sedia dengan Pelan Pengimarahan Masjid untuk menghidupkan kembali roh rumah ibadat secepat mungkin.
Katanya, beliau dan pegawai Jawi akan turun ke masjid dan surau terpilih di seluruh negara untuk menjayakan pelaksanaan program pengimarahan itu sebaik mungkin.
“Hari ini kita solat Zohor dan solat Hajat bersama-sama sebagai satu bentuk kesyukuran pencapaian 100 hari.
“Kita juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan solat Hajat, doa selamat dan Qunut Nazilah khusus untuk umat Islam Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette