negara memerlukan tindakan agresif untuk menentang habis-habisan aktiviti pemerdagangan manusia dan 'penaklukan' PATI.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR –  Kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) sukar dibanteras selagi ada pengkhianat dalam kalangan rakyat tempatan.

Setiap kali Jabatan Imigresen dan penguat kuasa agensi lain beroperasi, aktiviti diberhentikan kerana penduduk yang bersubahat dengan menjadi ‘mata dan telinga’n sindiket.

Lebih menyukarkan kerana Malaysia sudah dikenali di dunia sebagai ‘syurga PATI’ untuk mereka datang bagi mendapatkan segala-galanya.

Seperti ‘lalat datang selagi ada bangkai’, kita perlu membuang bangkainya terlebih dahulu dan bukan hanya menghalang kedatangan lalat.

Sehubungan itu, Penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara, Prof. Madya Dr Mizan Mohammad Aslam mencadangkan suatu tindakan drastik yang mudah serta menjimatkan tetapi dijangka amat berkesan iaitu mewujudkan pasukan Sukarelawan Menentang PATI (RETI).

Penganalisis Kajian Strategik dan Keselamatan Negara, Prof. Madya Dr Mizan Mohammad Aslam.

RETI seperti pasukan bounty hunter di Amerika Syarikat, Mexico dan negara-negara lain.

Katanya, negara memerlukan tindakan agresif untuk menentang habis-habisan aktiviti pemerdagangan manusia dan ‘penaklukan’ PATI.

“Khidmat penyiasat persendirian dan pengawal keselamatan sedia ada juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Ini kerana pihak berkuasa sukar untuk bertindak kerana mereka sentiasa dikenali sebagai orang luar.

“Melainkan ahli komuniti setempat itu sendiri yang membantu menangkap dan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa. Mereka boleh ditempatkan di lokap polis sementara menunggu diambil oleh pihak berkuasa.

“Orang ramai boleh diberi ganjaran bagi setiap tangkapan PATI. Kita nak turn the table around. Sekarang ramai yang bersubahat kerana upah yang lumayan sehingga RM15,000 seorang PATI yang diseludup.

“Faktor desakan kewangan dan kenaikan harga barang menyukarkan mereka untuk menolaknya. Kita harap ia akan menukar budaya daripada menyeludup PATI kepada menangkap PATI,” katanya.

Dr Mizan memberitahu, mungkin sedikit insentif ganjaran menarik minat kepada rakyat tempatan khususnya yang hilang pendapatan akibat krisis ekonomi negara dan pandemik Covid-19.

Malah ia boleh menjadi kerja sepenuh masa mereka sebagaimana penyiasat persendirian.

“Saya harap semua pihak dapat memberi maklum balas terhadap cadangan ini. Samada ianya baik dan mendapat sokongan untuk diteruskan atau tidak.

“Pemberian ganjaran mengikut kepala sebenarnya tidak menambah beban kewangan kepada kerajaan tetapi sebaliknya lebih menjimatkan dan menguntungkan kerajaan.

“Setiap operasi melibatkan implikasi kewangan dan logistik, walaupun tiada tangkapan tetapi sebaliknya pemberian wang ganjaran kepada bounty hunter berdasarkan kejayaan tangkapan.

“Mereka boleh bertindak di seluruh negara malah menyelesaikan isu kekangan kakitangan kerajaan untuk bertindak serentak ke seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bounty hunter berkenaan boleh mengenalpasti dan mendapatkan bukti seperti rakaman video dan  ia akan mematikan isu majikan menafikan PATI berkenaan adalah pekerjanya.

“Denda terhadap majikan sudah tentu dapat menampung wang ganjaran. Bagaimanapun, majikan yang memerlukan pekerja asing boleh terus datang memilih sendiri di tempat tahanan tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak,” katanya.

Tambah Dr Mizan bagi memudahkan semua pihak membuat semakan, satu sistem pengkalan data warga asing berasaskan internet akan dibangunkan.

“Warga asing yang tiada dalam rekod ini boleh dianggap sebagai PATI dan melakukan kesalahan menceroboh ke negara ini.

“Pemalsuan dokumen juga mudah untuk dikenalpasti, jika dapat membuat semakan online dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara semua pihak boleh membantu kerajaan. Bank, misalnya boleh menghalang mereka daripada membuka akaun dan terus menangkap sesiapa yang memiliki MyKad palsu,” katanya.

Mizan berkata, beliau sendiri boleh memberi jaminan bahawa kerajaan tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak kerana beliau telah mendapat pembangun sistem yang bersedia membangunkan dan menyediakan sistem berkomputer di awan dan mekanisma yang diperlukan secara percuma.

“Peruntukan kerajaan menanggung PATI sahaja boleh dijimatkan berbilion ringgit,” katanya.

Menurutnya, beliau memerlukan seminggu sahaja untuk membangunkan dan melancarkan mekanisma tersebut ke awan internet. Kerajaan langsung tidak rugi apa-apa sebaliknya diyakini boleh menarik lebih ramai sokongan rakyat.- MalaysiaGazette