Foto Facebook Faiz Najmil.

KUALA LUMPUR – Seorang Exco Pergerakan UMNO telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan berkenaan artikel di portal UMNO Online yang bertajuk Jijik dan Biadap Permainan DAP.

Ia susulan kenyataan Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris yang memberi respons daripada ciapan Twitter Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh yang sebelum ini mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah Timbalan Menteri daripada PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff.

“Hal ini menyebabkan pelbagai respon negatif dan bersifat kebencian timbul terhadap agama Islam, YB Siti Zailah serta parti PAS daripada pengguna di Twitter.

“Saya sekali lagi menegaskan perkahwinan bawah umur ini adalah isu nasional dan tidak wajar jika dikaitkan dengan kemampuan seorang Timbalan Menteri daripada Pas serta disempitkan dalam konteks agama.

“Saya akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak PDRM dalam membantu siasatan ini,” tulisnya yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu di Facebook miliknya di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Hannah diminta hadir di Bukit Aman pada 26 Jun ini dan difahamkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) akan merakam keterangan wakil rakyat itu.

Untuk rekod, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang telah menjelaskan pertikaian Yeoh tentang keterbukaannya dengan dasar sedia ada kerajaan Perikatan Nasional.

Ia termasuk usaha melaksanakan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.

Pelan tersebut dilancarkan pada 16 Januari 2020 oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – MalaysiaGazette