KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara ini secara haram terutama melalui lorong-lorong tikus.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga memberi amaran, kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang bersubahat dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pegawai mahu pun anggota keselamatan sekalipun.
“Hari ini, media melaporkan sekumpulan pegawai dan anggota pasukan keselamatan kita dipercayai bersubahat dalam aktiviti menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan PATI dan dadah di Johor.
“Mereka yang terlibat telah pun ditahan dan kita tidak akan sekali-kali berlembut dengan aktiviti itu. Perbuatan mereka jelas melanggar peraturan undang-undang negara dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya yang juga Menteri Pertahanan pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Mengenai Operasi Benteng, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, dari 1 Mei hingga semalam, seramai 910 Pati dan 158 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram.
Kata beliau, turut ditahan seramai 21 individu yang disyaki penyeludup serta 18 kapal yang digunakan untuk aktiviti itu.
“Polis telah membuat 70 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam, berbanding 68 pada hari sebelumnya dan memeriksa 42,202 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong-lorong tikus.
“Dalam sekatan jalan raya itu juga semalam, polis menahan seramai 26 warganegara asing dan sembilan lagi ditahan pada hari sebelumnya atas kesalahan imigresen,” katanya.
Kata Ismail Sabri, Operasi Benteng melibatkan anggota tentera, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) diadakan bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu.
Jelas beliau, usaha itu bagi mengawal ketat sempadan negara dari dibolosi Pati, selain jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: