Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan faktor-faktor luaran termasuk penularan semula COVID-19 di Amerika Syarikat dan China dan ketegangan di Semenanjung Korea, kata seorang penganalisis.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), dijangka kekal di atas paras 1,500 susulan banyak rangsangan yang seharusnya menyediakan sokongan kepada aset risiko minggu depan.

“Ini merupakan fasa penstabilan sebelum pasaran melonjak lebih tinggi. Akan ada sedikit sesi bercampur-campur apabila para pelabur bergelut untuk melihat kemungkinan pengumuman data ekonomi yang lemah minggu depan.

“Harga minyak bergerak dalam hala tuju yang positif dan terdapat banyak rangsangan yang seharusnya menyediakan sokongan kepada aset risiko minggu depan. Tetapi saya rasa pelabur akan berundur seketika selepas minggu yang sibuk di Asia pada minggu ini dengan peningkatan ketegangan geopolitik  (di Semenanjung Korea) serta laporan berita mengenai COVID-19,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata para pelabur juga akan memantau data ekonomi seperti tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tidak menentu sepanjang minggu yang baru berakhir ini dengan FBM KLCI turun sebanyak 47.19 mata pada Isnin untuk ditutup kepada 1,498.83 berikutan peningkatan semula kes COVID-19 di AS dan China serta harga minyak yang lemah sebelum melantun semula pada Selasa.

Indeks itu turun 21.41 mata pada Khamis untuk ditutup kepada 1,504.91 berikutan jualan besar-beasaran yang disebabkan oleh unjuran pertumbuhan ekonomi rendah dan sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau berikutan peningkatan kes COVID-19.

Bank Pembangunan Asia berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia diunjur menguncup 4.0 peratus tahun ini dan berkembang 6.5 peratus pada 2021.

Bursa tempatan ditutup minggu ini naik 2.35 mata kepada 1,507.26 berikutan aktiviti pembelian saham berharga rendah yang sederhana.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks itu susut 38.76 mata untuk ditutup kepada 1,507.26.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 268.55 mata kepada 10,600.60, Indeks FBMT 100 jatuh 282.29 mata kepada 10,449.48 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 315.11 mata kepada 12,002.08.

FBM 70 jatuh 405.63 mata kepada 12,956.52 dan Indeks FBM ACE meningkat 224.19 mata kepada 6,052.86.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.39 mata kepada 135.19, Indeks Perladangan naik 11.51 mata kepada 6,797.55 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 431.95 mata kepada 12,978.25.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 36.03 bilion unit bernilai RM22.07 bilion daripada 33.89 bilion unit  bernilai RM21.59 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 20.16 bilion saham bernilai RM18.39 bilion daripada 19.83 bilion saham bernilai RM17.82 bilion.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 2.87 bilion unit bernilai RM2.0 bilion daripada 2.76 bilion unit bernilai RM728.97 juta.

Jumlah dagangan Pasaan ACE menambah kepada 12.81 bilion saham bernilai RM2.98 bilion daripada 11.30 bilion saham bernilai RM3.04 bilion sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast