Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Perkembangan terkini pandemik Covid-19 menyaksikan 21 kes positif baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 8,556 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 289 kes dan semua pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau memberitahu tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Terdapat 76 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 8,146 kes atau 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, sebanyak tiga kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan harian berkaitan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan satu warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

Jelas beliau, daripada 19 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warganegara manakala 12 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Ujarnya, bagi tujuh kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kes kontak rapat kepada kes positif  ke-8498 dan kes ke-8523) dan semua mereka adalah rakan serumah.

“Perincian 12 kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia pula adalah di Selangor sebanyak 10 kes dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast