Foto Instagram Elfira Loy.

KUALA LUMPUR – Pelakon Elfira Loy berkongsi pengalaman menakutkan apabila anak kesayangannya, Muhammad Rayyan Khalaf yang berusia sembilan bulan mengalami kecederaan kecil selepas terjatuh dari katilnya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Elfira yang meluahkan rasa kesal berkata, walaupun tidak jatuh dari paras tingg namun kepala anaknya terhantuk sehingga menyebabkan benjolan besar di bahagian dahi.

Gara-gara insiden itu, Elfira berkata dia berasa amat kecewa dan menganggap dirinya tidak berguna.

“Beberapa hari lalu, kali pertama saya breakdown semasa menjaga Rayyan boi saya. Saya berasa tidak berguna dan bodoh. Saya kecewa dengan diri sendiri bagaimana saya membiarkan perkara itu berlaku.

“Saja nak kongsi sebab saya tak rasa sesiapa akan kongsi ini sebab sensitif kan nanti orang boleh fikir macam-macam cerita untuk nampak kita buruk tapi nilah realiti.

“Jadi, pada suatu hari Rayyan hanya berada di sebelah saya main main macam biasa di katilnya. El pulak tengah kemas baju dekat laci dia.

“Kemudian El rasa macam Rayyan nak tarik baju El tapi dia terhantuk kat laci dan jatuh dalam laci nasib baik tak tinggi sebab El bukak laci tu dan El sempat pegang dia tapi saya nampak benjol besar di dahinya berwarna biru,” tulisnya.

Elfira berkata dia mengigil dan menangis ketika kejadian itu berlaku dan berulang kali meminta maaf pada anaknya.

Disebabkan terlampau panik, wanita berusia 25 tahun itu terus menghubungi suaminya untuk segera pulang ke rumah.

“Saya menggigil dan menangis. Saya minta maaf kepadanya seribu kali, rasa macam Ya Allah kenapa aku buat dia macamni. Saya segera hubungi suami saya dan dia memandu terus ke rumah. Walaupun dia baik-baik saja, saya tidak.

“Macam nak give up dah sebab hari-hari rasa gementar takut benda ni jadi dan akhirnya dah jadi. Nasib baik suami saya menenangkan saya. Terima kasih sayang.

“Suami bertanyakan dengan rakannya, seorang doktor. Dia cakap tak ad apa-apa cuma tuam dengan ais untuk mengurangkan lebam dan saiz bengkak” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Elfira turut mengingatkan kepada ibu bapa di luar sana supaya terus ke hospital sekiranya anak mereka muntah selepas terjatuh. – MalaysiaGazette