Mohd Hashim Mustapha

KOTA BHARU – Pemain muda negara terutamanya diinasihat tidak perlu terburu-buru dan meneliti terlebih dahulu segala terma perjanjian sebelum menerima tawaran dari kelab luar negara,” kata bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era-80an Mohd Hashim Mustapha.

Beliau berkata, mereka perlu meneliti aspek antaranya kemudahan yang disediakan oleh kelab terbabit adakah lebih baik berbanding pasukan yang mereka beraksi pada saingan Liga-M ketika ini.

“Begitu juga peluang untuk beraksi bukan sekadar terima tawaran untuk ‘memanaskan bangku simpanan’ selain perlu mengetahui kelab itu bersaing pada divisyen yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini

Ketika ini, pemain muda kebangsaan Luqman Hakim Shamsudin dikaitkan mendapat tawaran kontrak lima tahun beraksi di Belgium bersama kelab KV Kortrijk.

Selain Luqman, pemain negara yang telah beraksi pada saingan liga luar ialah Hadi Fayyadh Abdul Razak bersama Fagiano Okayama (Jepun), Norshahrul Idlan Talaha bersama BG Pathum United (Thailand) dan Dominic Tan bersama Kelab Police Tero (Thailand).

Mohd Hashim berkata pemain yang bersama dan bakal bersama kelab luar diharap dapat bertahan lama dan tidak berhijrah hanya untuk jangka masa yang pendek.

Katanya perkembangan itu menunjukkan arena bola sepak negara mula menjadi perhatian kelab-kelab luar untuk mendapatkan pemain negara.

“Pemain perlu berani membuat perubahan dengan bijaksana bagi memajukan karier bola sepak mereka,” katanya. – Bernama