Foto hiasan olen AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Sarawak mencatatkan tiga kes positif Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sehingga jam 5 petang ini sebanyak 569 kes.

Menurut kenyataan dari Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, semua kes baharu itu dilaporkan di daerah Bintulu.

Kata kenyataan itu, kes ke-567 adalah penambahan kepada jumlah kes Kluster Kidurong, Bintulu yang merupakan ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes ke-566, iaitu isteri dan anak kepada kes tersebut.

“Ini menjadikan jumlah kes Kluster Kidurong setakat ini seramai lapan orang, manakala kes ke-569 adalah seorang lelaki berumur 29 tahun yang mempunyai sejarah bekerja di Mexico sejak Februari 2020.

“Pada 9 Jun lalu, mangsa kes ke-569 telah balik ke Malaysia menggunakan penerbangan dari Mexico ke Jepun dan seterusnya tiba di Malaysia pada 10 Jun lalu.

“Ujian RTK antigen yang diambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah negatif dan kes di kuarantin di Tune Hotel, namun, pada 14 Jun, beliau tiba ke Bintulu dan dihantar ke Parkcity Everly Hotel untuk menyambung kuarantin,” kata kenyataan itu kepada media hari ini.

Jelasnya, sampel mangsa telah diambil semalam dan didapati positif Covid-19 melalui ujian rtPCR.

Kenyataan itu juga menyatakan, tiada kes baru sembuh dan discaj dari hospital direkodkan hari ini.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal 535 orang atau 94.02 peratus.

“Seramai 17 orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital, manakala jumlah kematian pula kekal 17 orang. Sebanyak 18 PUI baru dilaporkan dan empat kes masih menunggu ujian makmal,” katanya secretariat itu.

Sehingga kini, sebanyak 2,059 premis telah dipantau iaitu pasar raya 351, restoran (422), kilang (23), bank (146), pejabat kerajaan (66), penjaja (22), pasar tani/awam (107), tempat ibadah (107), tempat riadah (53), tapak pembinaan (34) dan lain-lain (728).

Sebanyak 718 pasukan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terlibat iaitu polis seramai 363 anggota, Angkatan Tentera Malaysia (44), Ikatan Relawan Malaysia (154), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (97), pihak berkuasa tempatan (52), dan masing-masing empat Kementerian Kesihatan serta agensi lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast