KUALA LUMPUR – Kerajaan komited bersama wakil Parlimen Kimanis untuk menyelesaikan masalah tempat tinggal bagi keluarga malang yang kehilangan lima nyawa dalam kejadian kebakaran di Kampung Binsuluk, Membakut pada 24 Mac lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Ahmad Marzuk Shaary berkata, perbincangan itu turut diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
“Sangat menyayat hati,” respon Ahmad Marzuk ketika bertanya khabar mangsa kebakaran yang tinggal sementara di rumah saudaranya di Kampung Sungai Damit, Membakut di Sabah, semalam.
Dalam kejadian hari pertama Syawal itu, seorang wanita bersama empat anak lelakinya rentung dalam kebakaran di Kampung Binsuluk di Membakut, Sabah.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Aishah Jumat, 58, dan empat anak lelakinya, Dzulkarnain Othman, 34; Dzulnisham, 27; Rozaini, 26; dan Rosdi, 24 tahun.
Yang selamat ialah suami mangsa, Othman Ali, 64, dan tiga lagi anak mereka berusia 31, 29, dan 25 tahun.
Ahmad Marzuk yang dalam lawatan kerja ke Sabah mengambil kesempatan itu melawat mangsa yang selamat dan menyampaikan bantuan kewangan dari Jakim dan Yadim sebanyak RM7,000 untuk meringankan beban mereka.
Sementara itu, dalam lawatan berkenaan juga, beliau membuat tinjauan di Kelas Fardu Ain (KAFA) Jakim di Sipitang dan menyampaikan Sijil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2019 kepada 18 pelajar yang mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan tahun lepas.
Beliau turut memberikan sumbangan peribadi kepada pelajar cemerlang itu, di samping sumbangan dari Jakim sebanyak RM200 seorang kepada 50 asnaf di Sipitang. – MalaysiaGazette