Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM600.7 juta ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM539.2 juta pada minggu sebelumnya.

Setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM15.7 bilion ekuiti di Bursa Malaysia.

Sebagai perbandingan dengan enam pasaran Asia, Malaysia masih menduduki negara keempat aliran keluar asing terkecil berdasarkan tahun ke tahun.

Ketika pasaran dibuka pada hari Isnin minggu lalu, pelabur asing mengeluarkan RM358.9 juta bersih ekuiti tempatan yang merupakan trend serupa untuk semua pasaran Asia kerana kebimbangan kemunculan wabak Covid-19,” kata MIDF Research.

Walaupun begitu, dana asing masuk semula ke pasaran tempatan sebanyak RM101.6 juta pada hari Selasa lalu, sekali gus meraih semula jualan tiga hari di bursa.

“Kemasukan sederhana dana asing ke Malaysia pada hari Selasa bertepatan dengan kenaikan bursa tempatan kepada 1,517.7 mata, menunjukkan kenaikan satu hari sebanyak 1.26%.

“Sentimen risiko mungkin timbul pada hari Selasa kerana kadar pemulihan kes Covid-19 menunjukkan tanda-tanda stabil di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, trend belian asing di pasaran tempatan tidak lama apabila pelabur antarabangsa menjual RM83.3 juta bersih pada hari Rabu.

“Selera para pelabur mungkin terjejas oleh ketidakstabilan politik di negara ini dengan kemungkinan besar pilihan raya akan berlangsung serta penularan baharu koronavirus di Beijing.

“Tahap penjualan bersih asing meningkat selama tiga hari berturut-turut kepada RM155.4 juta pada hari Jumaat,” katanya.

Firma penyelidikan pasaran itu mengatakan suasana keseluruhan pasaran suram apabila para pelabur semakin waspada terhadap gelombang kedua jangkitan Covid-19, terutama di China dan Amerika yang menunjukkan tanda-tanda peningkatan jangkitan.

Lebih-lebih lagi, data pengangguran mingguan di Amerika Syarikat pada hari Khamis menunjukkan 1.5 juta orang mengemukakan insurans pengangguran pada minggu sebelumnya, lebih tinggi daripada yang diramalkan.

Menurut MIDF Research, dari segi penyertaan, pelabur asing adalah satu-satunya kumpulan yang mengalami kenaikan mingguan dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) sebanyak 7.9% kepada RM1.62 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast