Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

IPOH – Tiga anggota polis ditahan kerana disyaki bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran di Hutan Melintang, daerah Hilir Perak, dalam Op Benteng yang bermula 4 April lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tiga anggota polis berusia 30-an yang bertugas di Balai Polis Hutan Melintang adalah antara 11 ditahan dalam beberapa siri serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Perak.

Selain anggota polis, katanya, tiga lelaki dan dua wanita warga Indonesia adalah antara anggota sindiket berusia antara 33 hingga 66 tahun ditahan.

Beliau berkata, sindiket itu dikesan kembali aktif tahun lalu selepas ahli kumpulan itu yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dibebaskan pada 2017.

“Pada 2016 hingga 2017, aktiviti penyeludupan migran ini telah dibendung sepenuhnya, namun dikesan aktif semula pada 2019 setelah semua tahanan POCA dibebaskan pada 2017 dengan memfokuskan kegiatan penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan di kawan Hutan Melintang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Razarudin, rangkaian sindiket itu terdiri daripada ejen yang menerima tempahan migran untuk kembali ke negara jiran, pengangkut (transporter) yang menggunakan kereta persendirian seperti teksi, ejen rumah tumpangan, pengawal atau penjaga air, pemilik bot serta ketua penyeludup di negara jiran.

“Siasatan turut mengenal pasti beberapa ejen pendatang asing yang masih bebas dan usaha sedang dipergiat untuk mengesan mereka,” katanya.

Menurutnya, kesemua tahanan kini direman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari bermula 5 Jun lepas.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pendakwaan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB, Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast